Monday, June 21, 2010

panduan merumus karangan

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

STRATEGI MERUMUS KARANGAN

Baca petikan di bawah dengan teliti,kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan cirri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hamper dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan,pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita.Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala social seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara.Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

[Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria, Utusan Malaysia, Jun 2003]

A : STARATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali.

· Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.

[masa dicadangkan 2 minit]

· Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman

[masa yang dicadangkan 5 minit]

STRATEGI 2

Tentukan kata tugas dalam soalan [Fokus 1 dan Fokus 2] dan gariskan perkataan-perkataan tersebut.

· Fokus 1 = Isi tersurat

· Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti,kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran[ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk semangat kejiranan.[ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1.Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan cirri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.[ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1.Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hamper dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana.[ISI 2] Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan,pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita.[ISI 3]Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama.[ISI 3 PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1.Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat.[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1.Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran.[ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka.[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1.Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara.[ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4

Senarikan FOKUS 1 [isi-isi tersurat] yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah perkataanya.

Isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

1. Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [8]

2. Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana [8]

3. Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita [11]

Atau

Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [8]

4. Mampu menjamin keselamatan setempat [4]

5. Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat [9]

6. Gejala social dapat dibendung [4]

7. Dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat [9]

8. Melahirkan perpaduan sesama jiran [4]

9. Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan meeennngamalkan perkongsian pintar sesama mereka [11]

10. Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara [6]

STRATEGI 5

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:

  1. Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi.Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad. Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah antara 60 – 65 patah perkataan.
  2. Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana,kita dapat berkongsin pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

  1. Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan yang diberikan, contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara memupuk semangat kejiranan.
  2. Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat dan fokus 2 dalam arahan soalan.
  3. Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.
  4. Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat

STRATEGI 1

Kenal pasti dan senarikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

  1. Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan /bersedia member pertolongan / tolong-menolong [konsep: bekerjasama]
  2. Mengadakan rumah terbuka /majlis karaian / ziarah menziarahi / prihatin atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya khabar / pelihara hubungan kejiranan /bertegur sapa / saling mengenali [konsep:Intraksi tidak formal]
  3. Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.
  4. Mengadakan tabung kebajikan / kursus / kempen kejiranan / tabung khairat.
  5. Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sector rukun tetangga / persatuan belia / JKKK [Konsep: Intraksi formal]
  6. Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah pertandingan.
  7. Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak sombong / berbaik sangka dengan jiran.

STRATEGI 2

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan. [ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN

STRATEGI :

  1. Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
  2. Kenal pasti fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan fokus 1 itulah pendahuluan rumusan dapat dihasilkan.
  3. Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itumenjadi ayat anda sendiri.
  4. Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
  5. Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan / membicarakan………………………..

CONTOH PENDAHULUAN

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahuluan:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.

Atau

Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan /kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam masyarakat.

D : STRATEGI MENGHASILKANKESIMPULAN RUMUSAN

  1. Kaji semulafokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
  2. Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
  3. Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut bersertakesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
  4. Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung,’agar’, ‘supaya’, ‘demi’.
  5. Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.

Contoh : Kesimpulannya,…….Justeru,…….

CONTOH KESIMPULAN :

  1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

Atau

  1. Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti sejahtera dapat diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalam sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

[ 101 patah perkataan ]

SOALAN 2 : PEMAHAMAN

[ 35 MARKAH ]

SOALAN 2 (a) : Petikan Umum [ 9 markah ]

· Ada 3 soalan akan dikemukakan

· 2 soalan pemahaman secara langsung berdasarkan petikan; berikan maksud, apa, siapa, di mana, mengapa, bagaimana, jelaskan, terangkan …….

· Soalan pemahaman atau aplikasi yang berasaskan soalan kemahiran berfikir; pada pendapat anda ….., sekiranya anda…., jika anda…., pada ramalan anda……,

STRATEGI MENJAWAB

STRATEGI 1

Baca dan fahamkan ketiga-tiga soalan pemahaman yang diberi.

Contoh :

Soalan 2 (a) Petikan Umum (PETIKAN 1: RUMUSAN)

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata menjamin keselamatan setempat. [ 2 markah ]

(ii) Nyatakan kepentingan perpaduan dalam hidup berjiran. [ 3 markah ]

(iii) “Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur.”

Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [ 4 markah ]

STRATEGI 2

Gariskan kata tugas dalam arahan soalan tersebut:

(i) Berikan maksud rangkai kata menjamin keselamatan setempat.

(ii) Nyatakan kepentingan perpaduan dalam hidup berjiran.

(iii) “Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur.”

Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku?

PERINGATAN:

Soalan (i) jawapan hendaklah merujuk kepada petikan yang diberikan.

Soalan (ii) jawapan juga dengan merujuk petikan yang diberi.

Soalan (iii) soalan kemahiran berfikir yang memerlukan kebijaksanaan calon dalam mengemukakan jawapan.

STRATEGI 3

Baca dan fahamkan soalan (i) sekali lagi kemudian baca petikan sambil mencari jawapan seperti dalam kehendak soalan.

Bagi mencari maksud rangkai kata atau frasa kenal pasti kedudukan rangkai kata atau frasa itu dalam petikan.

Soalan (i)

Berikan maksud rangkai kata menjamin keselamatan setempat [ 2 markah ]

Contoh

PETIKAN 1

……..Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyeludupan dadah dan budaya samseng.

Contoh jawapan:

(i) Maksud rangkai kata menjamin keselamatan setempat ialah mengambil langkah-langkah awal sebelum sesuatu yang buruk berlaku dalam kawasan mereka / kawasan yang sama / sekeliling mereka.

STRATEGI 4

Baca soalan (ii) sekali lagi dan kemudian baca petikan yang diberikan. Cari jawapan dalam petikan dan gariskan jawapan yang betul. Anda juga perlu meneliti markah yang diperuntukkan bagi soalan tersebut.

Soalan (ii)

Nyatakan kepentingan perpaduan dalam hidup berjiran. [ 3 markah ]

Perenggan 4 Petikan 1

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara.[1] Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir [2] dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.[3] Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesame mereka. Sekiranya, hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Contoh jawapan:

(ii) Kepentingan perpaduan dalam hidup berjiran ialah perpaduan bertindak sebagai kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Perpaduan juga dapat mengelakkan negara daripada berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.

STRATEGI 5

Baca soalan (iii) dan fahamkan kehendak soalan. Kebiasaannya soalan (iii) ini merupakan soalan kemahiran berfikir.

Soalan (iii)

“Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur.”

Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [ 4 markah ]

Contoh jawapan:

Pada pendapat saya, “Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur” kerana anggota masyarakat lebih bersifat materialistik. Mereka juga lebih mementingkan diri dan keluarga mereka sendiri. Kelunturan semangat kejiranan juga berpunca daripada tiada atau kurangnya aktiviti kemasyarakatan di kawasan itu. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kurangnya kesedaran tentang kepentingan hidup berjiran dalam kalangan masyarakat.

No comments:

Post a Comment