Wednesday, June 23, 2010

Karangan Bentuk Ceramah

KARANGAN BENTUK CERAMAH

Maksud Ceramah

Satu cara pengemukaan fikiran atau idea melalui pengucapan kepada satu kumpulan orang.

Penceramah akan memberikan penerangan terhadap sesuatu perkara atau isu dalam satu majlis.

Memberi penjelasan kepada orang ramai atau sekumpulan orang terhadap sesuatu perkara atau sesuatu isu.

Tujuan Ceramah

Memberi gambaran umum.

Memberi maklumat.

Memberi tahu sesuatu pandangan baru.

Menerangkan sesuatu dasar.

Mengajar sesuatu kemahiran.

Menerangkan sesuatu tindakan yang akan diambil.

Jenis-jenis Ceramah

  1. Ceramah untuk kempen – iaitu menyampaikan maklumat untuk kempen bertujuan mendapat sokongan dari orang ramai bagi sesuatu tujuan.

Contoh

(i) Ceramah menjaga kesihatan

(ii) Menderma darah

(iii) Kempen politik

(iv) Semangat kejiranan

(v) Mengelakkan Aids dan sebagainya

  1. Ceramah untuk menyampaikan maklumat – bertujuan untuk menyampaikan penerangan dan pemahaman kepada orang ramai mengenai sesuatu idea, konsep atau perkara-perkara yang memerlukan kesedaran mereka dan dapat memberikan manfaat.

(i) Ceramah agama

(ii) Ceramah kesedaran.

(iii) Ceramah meningkatkan produktiviti

(iv) Ceramah tanggungjawab keibubapaan

Format Ceramah

  1. Bahagian Awal
  2. Bahagian Isi
  3. Bahagian akhir / penutup

Bahagian Awal

(i) Menyatakan penghargaan kepada pengerusi majlis.

(ii) Menyatakan penghargaan kepada orang berkedudukan tinggi dalam majlis.

(iii) Menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang hadir.

(iv) Mengucapkan terima kasih kerana sudi diberi kesempatan atau kepercayaan untuk menyampaikan ceramah.

(v) Membuat penegasan yang kontroversi pada permulaan ceramah.

(vi) Memulakan ceramah dengan memetik ucapan-ucapan atau kata-kata orang ternama.

(vii) Menyampaikan puji-pujian tertentu kepada yang hadir.

(viii) Menyatakan isi ceramah yang diberi.

Bahagian Isi

(i) Amat penting kerana isi akan menentukan nilai ceramah.

(ii) Isi adalah butir-butir sokongan kapada isi utama yang telah dikemukakan pada bahagian awal ceramah.

(iii) Mesti ada lima atau enam isi.

(iv) Setiap isi mesti diikuti dengan huraian dan pembuktian sama ada dengan mengemukakan contoh atau kes.

Bahagian Penutup

Antara perkara yang boleh disentuh pada bahagian penutup ialah:

(i) Mengulas perkara-perkara utama dalam ceramah iaitu dengan menekankan idea-idea pokok tanpa membuat perincian.

(ii) Memberi penekanan kepada hujah-hujah yang penting.

(iii) Menyuarakan gagasan untuk bertindak.

(iv) Mengukuhkan hujah yang lemah.

(v) Meninggalkan tanggapan yang positif terhadap perkara-perkara utama agar para pendengar dapat bertindak balas.

(vi) Menutup ceramah dengan ungkapan ‘demikian tadi…’, ‘daripada penjelasan tadi…..’, ‘begitulah serba sedikit tentang ….’, dan sebagainya.

(vii) Mengucapkan terima kasih dan memohon maaf serta menyatakan harapan kepada pendengar.

Teknik menulis ceramah

Perenggan awal

Yang saya muliakan Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Pengarah Pelajaran Negeri, Ketua-ketua Jabatan,Pengetua-pengetua, guru-guru dan seterusnya para hadirin yang saya hormati. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah pada hari ini. Dalam ceramah ini saya akan memberikan penjelasan kepada sidang hadirin tentang teknik-teknik belajar yang boleh digunakan untuk menghadapi peperiksaan, di samping langkah-langkah mengatasi sikap malas belajar dalam kalangan pelajar.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Datuk-datuk, Ketua-ketua Jabatan, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah kepada tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini. Bagaimanakah cara untuk kita mendorong anak-anak kita supaya membaca buku? Apa yang perlu kita lakukan kepada anak-anak kita yang gemar menonton televisyen daripda membaca buku. Apakah pentingnya membaca buku? Inilah antara persoalan yang akan saya berikan jawapannya dalam ceramah saya hari ini.

Perenggan Isi

Contoh

Kerajaan sudah benyak berusaha untuk memastikan hubungan kejiranan ini sentiasa dipupuk dalam kalangan rakyat. Sudah banyak kempen dan kesedaran tentang pentingnya semangat kejiranan ini dibuat melalui media massa atau melalui penglibatan secara langsung. Aktiviti Rukun Tetangga yang sudah sekian lama diamalkan adalah satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara jiran. Kita haruslah peka dengan hasrat kerajaan ini kerana hubungan kejiranan yang baik akan membawa faedah kepada diri kita sendiri. Tepatlah kata pepatah ‘jiran sepakat membawa berkat’.

Perenggan Kesimpulan / Penutup

Contoh 1

Daripada persoalan-persoalan yang saya timbulkan tadi, maka dapatlah dirumuskan bahawa peranan untuk membina generasi muda yang mantap dan berwibawa terletak kepada ibu bapa sendiri. Anak-anak dapatlah diibaratkan sebagai sehelai kain putih dan bersih. Ibu bapalah yang akan mewarnakan kain tersebut. Seandainya ibu bapa mengabaikan tanggungjawabnya mendidik anak-anak dengan baik, maka merekalah yang akan menjadi mangsa.

Contoh 2

Saya ingin menegaskan sekali lagi di sini, bahawa ibu bapa mempunyai peranan untuk membina generasi yang mantap dan berwibawa. Peranan yang amat penting ini, perlulah disedari oleh mereka. Di tangan mereka jugalah letaknya masa depan masyarakat dan negara. Jika peranan yang penting ini gagal dimainkan oleh ibu bapa dengan berkesan, maka gelaplah masa depan generasi akan datang. Kesannya masa depan masyarakat dan negara juga akan gelap.

Contoh 3

Saudara dan saudari, tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian, itulah antara beberapa perkara yang dapat saya sampaikan dalam ceramah ini. Harapan saya sama-samalah kita berusaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri kita. Sebelum berundur, saya memohon maaf jika terdapat keterlanjuran kata dalam ceramah saya tadi. Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu adalah kelemahan diri saya.

Sekian terima kasih.

Contoh 4

Tuan-tuan yang dihormati sekalian, demikian tadi serba sedikit tentang beberapa langkah untuk mendorong anak-anak kita membaca buku. Marilah kita berusaha mencuba langkah-langkah itu untuk memastikan anak-anak kita gemar membaca . Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan mendengar ceramah ini, dan jika ada sebarang masalah atau kemusykilan, bolehlah tuan-tuan dan puan-puan kemukakan soalan selepas ini.

Sekian terima kasih.

Soalan

Dalam satu majlis hari keluarga di tempat anda, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah. Tajuk ceramah anda ialah ‘Menghargai Jasa Ibu Bapa’.

Tulis ceramah itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ahli Jawatankuasa Kampung Bukit Payong dan para hadirin sekalian. Pada hari yang berbahagia ini saya memanjat kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat kita berkumpul di dalam dewan yang tersegam indah di kampung ini. Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur sambutan Hari Keluarga kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan satu ceramah yang bertajuk ‘Menghargai Jasa Ibu Bapa’.

Hadirin yang saya hormati,

Apabila kita berdiskusi mengenai perihal kedua-dua ibu bapa kita, pasti akan tergiang-ngiang lagu nyanyian seniman negara kita iaitu Allahyarham Tan Seri P. Ramlee iaitu;

‘Berkorban apa saja

Harta ataupun nyawa

Itulah kasih mesra

Sejati dan mulia’

Lagu di atas izhar menunjukkan betapa mulia dan sejatinya kasih ibu dan bapa yang sanggup berkorban apa-apa sahaja tidak mengira harta ataupun nyawa demi anak-anak mereka. Sejak kita dalam kandungan lagi, ibu telah mengandung kita selama sembilan bulan sepuluh hari. Ibu bersabung nyawa melahirkan kita. Ibu sanggup menanggung kesakitan, hanya Allah sahaja yang tahu. Apabila kita dilahirkan, terdengar sahaja tangisan si bayi, hati ibu merasa lega dan segala kesakitan hilang serta merta. Pengorbanan seorang ibu tidak terhenti di situ sahaja, malah anak yang dilahirkan disusukan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Oleh sebab itulah syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Sebagai anak yang soleh, kita seharusnya mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapa kita di dunia dan akhirat sebagai menghargai jasa mereka. Pohonlah kepada yang Maha Esa agar ibu bapa kita dikasihi seperti mana mereka mengasihi kita.

Ibu bapa juga telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Sebelum kita diwajibkan bersekolah, ibu bapa telah mengajar kita tentang asas kehidupan seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Setelah kita kita pandai berfikir, ibu bapa mula menerapkan nilai murni dalam diri kita, bak kata pepatah ‘kalau melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sejak dari kecil lagi kita telah diterapkan nilai kasih sayang, hormat menghormati, keberanian dan kesabaran. Ibu bapa juga sering kali menasihatkan kita agar pandai membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Oleh itu, sebagai anak kita hendaklah membalas jasa ibu bapa kita dengan menjaga mereka dengan baik sebagaimana mereka menjaga kita. Iklan Petronas yang disiarkan sempena Hari Raya hendaklah dijadikan panduan. Nilai kasih sayang yang diterapkan oleh mereka ketika kita kecil, hendaklah dicurahkan pula kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlulah dihormati.

Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Mereka sanggup membanting tulang dan bersengkang mata untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan kita. Hasil, yang diperoleh kemudiannya digunakan untuk membayar yuran sekolah, asrama dan yuran tuisyen. Oleh itu, untuk menghargai jasa ibu bapa kita, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam segala bidang. Tiada apa yang diharapkan oleh ibu bapa melainkan segulung ijazah daripada anak mereka. Ibu bapa tidak pernah mengharapkan harta berjuta-juta ataupun segudang emas untuk membalas jasa mereka tetapi harapan mereka hanyalah agar anak-anak mereka menjadi insan yang berguna, berjaya dan bahagia di dunia mahupun di akhirat.Titisan air mata yang mengalir tatkala si anak menerima segulung ijazah merupakan kegembiraan sebenar mereka.

Sebagai seorang anak, kita juga boleh menghargai jasa kedua-dua ibu bapa kita dengan melayan rakan-rakan mereka dengan baik. Hal ini kerana budi bahasa dan sopan santun yang kita pamerkan melambangkan kedua-dua ibu bapa kita, seperti kata pepatah, bapa borek anak rintik. Segala ilmu dan tunjuk ajar yang diterapkan oleh ibu bapa kepada kita dianggap seperti bagaimana acuan begitulah kuihnya. Rakan-rakan ibu bapa kita berpandangan positif kepada kita sekaligus berpandangan positif kepada kedua-dua ibu bapa kita.

Selain itu, sebagai seorang anak kita, hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada sikap kacang lupakan kulit. Kita janganlah sesekali menderhaka atau melupai jasa kedua-dua ibu bapa kita seperti yang digambarkan dalam cerita rakyat Melayu yang berjudul ‘Si Tanggang’ seharusnya ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk dijadikan iktibar. Kisah Si Tanggang yang telah disumpah menjadi batu kerana telah menderhaka kepada ibunya, sepatutnya dijadikan pengajaran. Kita seharusnya, ingat bahawa kasihnya ibu membawa ke syurga, kasih ayahnya hungga ke hujung nyawa. Kasih sayang yang telah dicurahkan dan segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa kita tidak harus lenyap begitu sahaja di hati dan minda kita. Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum berkata-kata agar tidak mengguris perasaan mereka. Terlajhak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kita mestilah mengucapkan kata-kata yang manis dan boleh menyejukan hati ibu bapa kita apabila berbicara dengan mereka.

Hadirin yang saya kasihi,

Saya meyeru agar kita semua sentiasa menyayangi kedua-dua ibu bapa kita. Hal ini kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita sejak dari kecil lagi. Segala jasa yang mereka curahkan tidak mampu kita balas walau dengan harta yang berjuta sekalipun. Hargailah jasa mereka sementara mereka masih hidup, selagi nyawa dikandung bandan. Jangan nanti apabila malaikat maut telah sampai untuk menjemput mereka barulah kita sedar akan kesalahan kita selama ini. Tatkala itu, sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna lagi, Apa yang boleh kita lakukanketika itu hanyalah mendoakan agar roh ibu bapa kita dicucuri rahmat.Sebelum saya mengakhiri cerama saya pada hari ini, izinkan saya mendendangkan serangkap lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad,

‘Ayah dan ibu

Ayah dan ibu,

itulah permulaan kami

Dapat melihat bulan dan matahari,

Ayah dan ibu

Ayah dan ibulah mesti dihormati’

Sekian terima kasih.

.

4 comments: